1. Slipped disk:
Banyak cerita yang aku dengar tentang prosedur pembedahan disk tulang belakang ni. Semuanya aku percaya berdasarkan kisah benar, sama ada pengalaman sendiri atau saudara terdekat masing-masing. Ada yang cakap bertambah baik. Ada yang jadi makin teruk. Ada yang cakap baik aku operate. Ada yang cadangkan cari alternatif lain.
Menurut doktor, kalau disk L4/L5 ni bengkak lebih teruk, boleh mengakibatkan abang botak tidak boleh berdiri anu itu tidak dapat berfungsi dan kehilangan kawalan pundi kencing. Waktu itu memang kena operate dengan segera.
Walaupun aku belum mengalami simptom-simpton tersebut, aku rasa aku tak sanggup nak tahan sakit dan rasa tak selesa untuk jangka masa yang lebih lama lagi. Sakit slipped disk ni bukan setakat di pinggang dan belakang saja, tapi sakitnya turun sampai ke hujung jari kaki. Nak berdiri dan jalan jauh sikit pon tak selesa.
Sesudah aku fikir-fikir, akhirnya aku putuskan untuk operate aje lah. Pembedahan telahpon dijadualkan pada hari Selasa 22/7/2008 nanti di Kuantan Medical Center.
Cuak la plak aku...
2. Perkembangan Syifaak:
Syifaak demam sejak dua hari lepas. Gigi dah mula tumbuh. Dah pandai merangkak, dan duduk. Kadang-kadang, Syifaak juga akan menunjukkan vocal skill dan menyebut 'tatata' dan 'papapa'.
Aku agak terkilan sebab tak boleh dukung Syifaak lama-lama akibat slipped disk ni. Kalau pembedahan ni berjaya, insyaAllah aku boleh recover cepat dan dapat dukung Syifaak sebelum dia jadi lebih berat macam Mama Papa dia.
Huhu.
3. Kenaikan harga petrol 78 sen
Mula-mula, aku pon marah jugak dengan kenaikan mendadak 40% ni. Tapi, bila aku fikir-fikir balik secara rasional, aku tak jadi nak marah sebab kenaikan mendadak ini mula memberi kesan.
Dua tahun lepas, aku pernah menyokong kenaikan harga petrol 30 sen, dengan harapan kerajaan memperkenalkan sesuatu polisi yang dapat membantu dan membimbing rakyat mengubah cara hidup dan mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil. Tapi, polisi-polisi yang diperkenalkan lebih banyak mendapat kritikan. Memandangkan pemimpin kerajaan adalah ahli politik, mereka menggunakan pendekatan populist dan tidak menaikkan harga minyak petrol selama dua tahun berikutnya. Akibatnya, trend consumption bahan api fosil ini tidak juga berubah, malah makin meningkat.
Bila consumption mengatasi production, itulah yang bakal menjadikan negara nett importer satu hari nanti. Menurut perkiraan PETRONAS, perkara ini mungkin berlaku seawal tahun 2015 nanti.
Dengan kenaikan petrol dan diesel secara mendadak, walaupon dalam kemarahan, pengguna akan lebih berjimat dan tidak membazir. Ramai yang akan memilih untuk menggunakan kenderaan awam, seperti mana yang diperhatikan di ibu negara sekarang. Ramai yang akan mencari jalan untuk mengurangkan penggunaan petrol dengan memandu dengan cara yang disyorkan, memastikan enjin kenderaan dalam keadaan baik, membeli 'alat-alat penjimat minyak' (walaupon kebanyakannya mitos saja), car pooling dan macam-macam lagi.
Tidak dapat dinafikan, kenaikan harga minyak petrol dan diesel akan mengakibatkan harga barang lain akan turut naik. Maka, pengguna akan lebih bijak berbelanja dan mengurangkan kadar pembaziran.
Daripada pengamatan aku selama ni, rata-rata, ramai daripada kita suka membazir. Pergi sajalah ke mana-mana kedai makan dan perhatikan sisa-sisa makanan yang dibuang oleh pelanggan setiap hari. Tengoklah timbunan sampah, banyak barang-barang yang dibuang sebenarnya masih boleh diperbaiki lagi. Tengoklah penggunaan elektrik, sudah ada kipas, mahu pasang air cond. Sudah ada air cond, tidur bawah selimut pulak. Sudah tidur, televisyen masih menyala. Mungkin dengan kenaikan tarif elektrik, sikap membazir ini akan berubah.
Kadang-kadang, hanya dengan melalui zaman hidup susah saja, kita mampu menghargai kesenangan yang ada selama ni. Ingatlah...
"Sesungguhnya pembazir itu saudara syaitan" (Al-Israk, ayat 27)
Ayat di atas juga lebih kena kepada golongan-golongan pemimpin yang suka membazir dengan majlis-majlis sosial, projek-projek yang tidak perlu dan tidak mendatangkan faedah langsung, pembinaan kediaman-kediaman rasmi yang besar-besar dan sebagainya. Aku tak pasti sama ada pembazir air liur juga boleh masuk dalam kategori ni.
Huhu.
Sesiapa yang bising-bising pasal kenaikan harga minyak petrol menyusahkan rakyat miskin itu, cuba tanya balik diri sendiri, apa yang telah kamu lakukan untuk mengurangi beban mereka?
Waktu inilah kita-kita yang masih berkemampuan ni belajar hidup bersosial. Kenali satu sama lain. Saling bantu membantu. Belajar perbaiki diri. Bukan sekadar bagi sedekah seringgit dua aje.
Give someone a fish, he'll eat a meal. Teach him to fish, he'll eat a lifetime.
Eh, terasa poyo la pulak aku nih...
4. Debat Anwar-Shabery:
Ternyata Anwar lebih meyakinkan daripada Shabery, kerana pengalaman, skill berdebat dan background ekonomi yang beliau miliki.
Anwar nak turunkan harga minyak sebanyak 50 sen. Menurut beliau, untuk mencapai matlamat ini, beliau perlukan RM 5 billion melalui pengurangan standby capacity IPP daripada 40% kepada 20% untuk mendapatkan RM 3 billion, melalui syarikat kroni Teras Kimia yang dibayar RM 117 juta untuk menguruskan pembelian diesel, penjimatan RM 700 juta dengan mengawal kerugian diesel yang bocor, penyeludupan dan penyelewengan, dan baki RM 1 billion lebih lagi daripada RM 6 bilion dividen khas yang dibayar PETRONAS kepada kerajaan.
Aku pelik kenapa hanya RM 5 bilion? Bukankah jumlah yang digunakan kerajaan untuk subsidi minyak dan rebat tunai sudah melebihi RM 10.25 bilion bagi setengah tahun ini sahaja?
Ini bermakna, apa yang ditawarkan Anwar itu sebenarnya lebih rendah daripada yang telah diberikan oleh kerajaan.
Aku rasa Shabery patutnya gunakan hujah ini saja untuk membidas hujah Anwar. Tapi, dia berterusan menyerang tindakan-tindakan politik Anwar sejak dari dulu, mengulang ayat 'kerajaan tidak boleh gunakan kesemua untung PETRONAS untuk subsidi minyak' dan langsung tak menjawab soalan daripada moderator pihak Anwar.
Maka, jelas sekali pemenang dalam debat ini ialah PETRONAS! Sebab kedua-dua pendebat memuji dan membacking PETRONAS.
Syabas PETRONAS!
5. Keuntungan PETRONAS
Aku rasa banyak blog dan email yang telah menjelaskan bahawa bukan PETRONAS yang menentukan harga minyak. Debat tersebut juga menjelaskan perkara ni.
Bila PETRONAS mengumumkan keuntungan selepas cukai RM61 billion dengan peningkatan lebih 30% berbanding tahun lalu, masih ramai yang sebut sebab kenaikan harga minyak.
Betul lah tu.
Cuma aku harap jangan salah faham kenaikan harga minyak mentah dunia dengan kenaikan harga minyak petrol dan diesel di stesen minyak di Malaysia. Kedua-dua tu tak sama. Satu itu punca kepada yang satu lagi.
Kenaikan harga minyak mentah dunia memang menguntungkan PETRONAS. Sebaliknya kenaikan harga minyak petrol dan diesel di stesen minyak pula, merugikan.
Kenapa? Bila harga naik, demand kurang. Bila demand kurang, sales kurang. Melalui Automatic Pricing Mechanism (APM), keuntungan bergantung kepada jumlah sales. Maknanya bila sales kurang, untung pon kuranglah.
Sebelum kamu kata PETRONAS untung atas kesengsaraan rakyat, pergilah baca dulu full media release PETRONAS di sini. Berita yang keluar di media-media mainstream tempatan hanya sebahagian daripada laporan 16 muka surat ni. Kalau nak tahu lebih detail, boleh lihat di sini.
Maka, berdasarkan untung PETRONAS, dan sumbangan yang telah diberikan kepada kerajaan, aku rasa tidak salah sekiranya staff-staff PETRONAS yang bekerja keras membanting tulang sampai gout, slipped disk dan berkorban jadi weekend husband and wife demi negara diberikan ganjaran sewajarnya.
Apalah sangat bonus empat, lima bulan untuk staff PETRONAS berbanding RM 67.6 billion yang PETRONAS bagi dekat kerajaan pakai buat sekolah, hospital, jalan, bayar gaji kakitangan awam, etc., ye tak?
Buangkanlah PHD (bukan PhD ye) tu.
6. PETRONAS dan zakat perniagaan
Ada yang menimbulkan isu yang PETRONAS tak bayar zakat perniagaan. Untung berbilion, masuk Fortune 500, tapi kenapa tak bayar zakat perniagaan?
Untuk menjawab isu ni, kita harus lihat perkara asas iaitu kewajipan berzakat.
Setakat ilmu yang aku ada, zakat itu wajib ke atas individu beragama Islam sahaja. Yang bukan Islam, perlu membayar jizyah. Kalau dalam zakat perniagaan, pemilik perniagaan atau shareholder beragama Islam saja yang perlu membayar zakat. Jika perniagaan itu milik bersama, jumlah zakat adalah berdasarkan peratusan shareholder yang beragama Islam.
Jadi, siapakah shareholder PETRONAS?
Berdasarkan apa yang aku tahu, PETRONAS ini 100% milik Kerajaan Malaysia kerana Kerajaan Malaysia yang mengeluarkan modal RM 10 juta untuk penubuhannya dulu. Jadi, adakah Kerajaan Malaysia ini Islam?
Dalam Perlembagaan Malaysia, termaktub yang Islam adalah agama rasmi negara. Tapi, adakah ini menjadikan Kerajaan Malaysia itu Islam? Kalau ikut DAP, sampai mati pon diorang tak akan acknowledge Malaysia ialah negara Islam.
Jadi bagaimana?
Pada pendapat aku, Majlis Fatwa perlulah memutuskan sama ada perlu atau tidak PETRONAS membayar zakat, dan bagaimana mengira jumlah zakat yang perlu dibayar. Majlis Fatwa mungkin mahu berbincang dengan Penasihat Agama di Jabatan Perdana Menteri tentang hal ini.
Aku yakin PETRONAS tidak akan membantah.
Malah, anak syarikat PETRONAS yang mempunyai milikan saham umum seperti PETRONAS Dagangan Berhad ada membayar zakat berdasarkan peratusan individual shareholder yang beragama Islam.
7. PETRONAS Maju Jaya
Ramai yang salah faham tentang isu kenaikan harga minyak petrol dan diesel, lalu menyalahkan PETRONAS. Ada staff PETRONAS (terutama di KL) mendapat layanan buruk, malah dipukul oleh orang-orang yang salah faham atau tidak mahu faham tentang isu minyak ni.
Jadi, aku harap mereka-mereka ini dapat hayati lirik lagu rasmi PETRONAS di bawah. Inilah sebenarnya ikrar pengorbanan staff PETRONAS yang mereka aniaya itu.
---
PETRONAS maju jaya
Kemegahan negara kita
Semerbak nama seluruh dunia
PETRONAS maju jaya
Cita rakyat kami pegang teguh
Amanah negara dipatuh
Kami usaha setulus hati
Cekal tabah ikrar kami
Kami berjuang berganding bahu
Erat muafakat bersatu padu
Pohon restu Allah Yang Esa
Malaysia makmur sejahtera
PETRONAS maju jaya
Kemegahan negara kita
Semerbak nama seluruh dunia
PETRONAS maju jaya
---
Kemudian, bacalah dengan teliti Falsafah, Visi, Misi dan Nilai-nilai PETRONAS.
Menyalahkan PETRONAS atas kenaikan harga minyak petrol dan diesel di stesen minyak adalah perbuatan yang zalim kerana sesungguhnya zalim itu adalah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya.
Memboikot PETRONAS juga adalah satu perbuatan yang sia-sia.
Wallahualam.
p/s: Sori ah, panjang pulak aku tulis. Malas nak post banyak-banyak kali. Perasan tak format posting aku ni kat mana-mana blog? Huhu.