Sunday, August 20, 2006

Bukan!

Sekarang musim mengawan agaknya.

Alom dan Wak, Hassan dan Ju, Shariman dan Sarah, Tini dan bakal suami, Behesti dan isteri, Faishal dan bakal isteri serta tidak lupa, Datuk K dan Siti. Selamat berumah tangga.

Kecuali Datuk K dan Siti, terima kasih kepada semua bakal pengantin atas undangan yang diberi. Terlebih dulu, aku minta maaf kalau tak dapat hadir ke majlis kalian nanti.

Aku yakin, bakal2 pengantin semua mesti dah pergi kursus kahwin dan tahu tanggungjawab yang dipikul sebagai suami atau isteri nanti. Jalankanlah tanggungjawab masing dengan ikhlas dan bertoleransi.

Betulkanlah niat kalian mendirikan rumahtangga. Bukan kerana cinta kalian antara satu sama lain atau untuk menghalalkan perbuatan berguling2. Bukan juga kerana ingin mengembangkan keturunan atau memelihara diri daripada maksiat. Meskipon semua niat itu baik dan tidak salah, tapi itu hanya niat2 'sampingan'.

Ingatlah bahawa niat yang sebenar adalah Lillahi Ta'ala. Kita semua berkahwin kerana Allah SWT.

Demikian juga jika kita solat, niatnya Lillahi Ta'ala. Juga jika kita berpuasa, niatnya Lillahi Ta'ala. Juga ketika kita bekerja, niatnya Lillahi Ta'ala. Tapi, bukan ketika kita menyanyi terkinja2, berlakon berpeluk cumbu mendedah aurat, atau bersanding megah2 sehingga membazir kerana niat Lillahi Ta'ala itu tidak menghalalkan perlakuan dan cara.

Seperti juga kalimah Alhamdulillah yang dituturkan ketika memberi ucapan setelah menerima anugerah pelakon terbaik, atau penyanyi terbaik, tidak akan menjadikan rezeki daripada kerja itu, rezeki terbaik.

Walau bagaimanapun, bukan ucapan itu yang sepatutnya dijadikan isu. Ye tak?

Seperkara lagi, kalau kamu ingin mencari ketenangan, tak perlulah sampai ke Melbourne. Dalam Al-Quran ada menyebut, "Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati akan menjadi tenang." Banyakkanlah ibadah, solat, sedekah dan zikir serta membaca Al-Quran. Ketenangan itu akan datang tanpa perlu dicari.

Kepada bakal suami, tanggungjawab kamu yang paling utama tetap kepada ibu kamu walaupon sudah bernikah. Keutamaan itu tidak berubah. Tapi kepada bakal isteri, tanggungjawab utama kamu kini adalah kepada suami. Bukan lagi kepada ibu bapa kamu.

Jika perkara asas ini difahami, insyaAllah isu 'nak balik kampung siapa hari raya nanti' tidak akan timbul...


p/s: Kepada bakal pengantin, jangan lupa senaman pinggang.

Thursday, August 10, 2006

PANAS!

Seperti biasa, aku membaca akhbar percuma cap Matahari yang diambil di Stesen LRT Masjid Jamek ketika beratur menunggu tren.

Muka surat 24, bawah ruang hiburan, artikel bertajuk, 'Mawi still hot'.

NOTA: Aku gagal mengesan artikel ini di website akhbar tersebut.
(Kantoi aku baca pasal Mawi)

Aku terhenti sebentar di perenggan kesebelas:

" Jamal (pictured at right with Mawi) took the audience on a trip
down memory lane journey with his old hit, Serajo. With..."

Serajo? Lagu Serajo tu yang mana satu?

Berfikir sejenak.

Eh?

HAHAHA.

Oh, mungkin typo error.

Ya, Mawi masih panas. Tun Mahathir juga masih panas. Isu Israel dan Yahudi pula sentiasa memanaskan hati aku. California terus dilanda cuaca panas melampau. Sesuai dengan salah seorang calon govenor mereka.

Tapi, jangan sesekali kamu lupa yang lebih panas dari itu semua.


Api neraka.



p/s: Doakan semoga ayah kepada Datin (bos aku) selamat menjalani pembedahan dan semoga Datin tenang menghadapi semua ini.

Monday, August 07, 2006

Kesihatan.

Hari ni aku cuti kecemasan. Sakit perut. Tak pergi klinik sebab tak larat. Terpaksa guna cuti tahunan yang dah tinggal dua hari je lagi. Raya kat ofis la nampaknya tahun ni.

Pukul 8.30 pagi, aku mula menerima panggilan dari ofis. Tensi. Tapi, terpaksa dijawab dan diselesaikan.

Lepas tu, cuba kejut adik aku, Awis, mintak tolong bawakkan ke klinik. Gagal. Dia tidur mati.

Akhirnya aku sambung tidur. Sekali sekala bangun untuk ke tandas.

Menjelang petang, sakit perut beransur hilang. Tapi, kepala pulak yang berdenyut2.

Adehlaa...


p/s: Menjelang Maghrib, ok dah sikit. InsyaAllah, esok boleh bekerja seperti biasa.

Saturday, August 05, 2006

Ubahsuai.

Aku masih tak dapat housemate baru. Seorang kawan lama yang lebih dikenali sebagai Apis Kucing, sms dan menyatakan minat terhadap bilik berkenaan. Sehingga hari ini, Apis Kucing masih belum sampai ke sini untuk melihat bilik yang dimaksudkan.

NOTA: Aku pon tak tahu bagaimana gelaran 'Kucing' itu diperolehi. Kata Parid, sebab misai beliau. Selama ini, aku ingat sebab beliau orang Kuching, Sarawak.

Apis Kucing menepati ciri2 housemate yang aku nyatakan sebelum ini, cuma dia merokok. Seingat Parid, dia sangat kuat merokok. Tapi, kami boleh berkompromi jika tabiat itu dihadkan di luar rumah dan di dalam bilik beliau saja.

Semalam, aku melepak dengan Abang Napi bercerita tentang kerenah2 manusia di tempat kerja. Sessi yang penuh manfaat sementara menyelia kerja2 penyusunan semula cubicle. Abang Napi seorang kerani. Beliau mempunyai 22 tahun pengalaman bekerja di Syarikat, dan telah berkhidmat dengan pelbagai jenis manusia.

Pengalaman itu, ternyata tidak boleh didapati daripada mana2 buku. Yang boleh didapati daripada buku hanyalah pengalaman2 golongan eksekutif, kerana golongan2 ini lebih suka menulis buku. Konon2, menulis buku itu menjadikan mereka hebat.

Haha.

Bagi orang2 yang masih tak perasan, kawasan Lembah Kelang sudah tidak mempunyai ruang yang luas untuk menempatkan manusia2 yang berhijrah dari serata Malaysia. Oleh itu, rekabentuk bangunan seperti bangunan 'gerbang' Matrade janganlah diluluskan selalu bagi menjimatkan ruang yang masih ada.

Jika tidak, cubicle2 pejabat terpaksa dikecilkan lagi bagi menampung jumlah pekerja yang ramai. Takkan kita mahu biarkan kadar pengangguran terus meningkat pulak...

p/s: Harni, banyakkanlah bersabar. Encik Musafir, salam anda telah disampaikan.

Thursday, July 27, 2006

Petunjuk?

Mengapa perlu perlembagaan untuk melindungi akidah, sedangkan akidah itu adalah pelindung yang lebih hebat daripada perlembagaan atau apa2 undang2 gubahan manusia?

Perbincangan mendalam yang boleh mencetus kontroversi. Maka, malas tulis.

HAHA.

Sebenarnya, nak tulis dari komputer di rumah sebab boleh concentrate. Tapi, modem Streamyx pulak rosak, mungkin sebab petir. Parid dah hantar baiki.

Din baru pindah. Beliau nak tinggal serumah dengan kawan2 satu batch di UTP dulu.

Lalu, aku dan Parid sedang mencari housemate yang mempunyai ciri2 berikut:

  • Lelaki bujang yang beriman
  • Mempunyai kerjaya tetap
  • Berumur dalam lingkungan 22 ke 27 tahun
  • Pandai masak lauk yang best
  • Tidak merokok
  • Menjaga kebersihan
  • Mempunyai naluri seksual yang normal
  • Bukan jenis lelaki lembut
Rumah kami di Pangsapuri Mawar, Bandar Baru Sentul. Jika kamu tidak tahu di mana pangsapuri berkenaan, kamu boleh naik LRT Star dan turun di Terminal Sentul Timur. Kamu harus menapak kira2 empat minit dari situ. Kalau sesat, tanya orang.

Sewa yang ditawarkan ialah RM200 sebulan. Kamu akan mendapat satu bilik tidur dan menggunakan perkakas2 rumah yang lain seperti mesin basuh, dapur, peti sejuk, dan televisyen tanpa had. Walau bagaimanapon, penggunaan telefon adalah dikawal.

Jika berminat, boleh hantar permohonan ke email atau tinggalkan komen di sini.

Oh ya, Tok dah kembali ke rumah setelah tekanan darah rendah yang dialami kembali normal.


p/s: Selamat berkahwin untuk Nany. Sorry tak dapat nak pergi.

Friday, July 21, 2006

Hajat.

Sekiranya kamu ingin melepaskan hajat di dalam tandas awam, atau tandas pejabat, minimumkanlah bunyi yang dikeluarkan bagi menjamin keselesaan bersama. Jangan pula kamu mendesah dengan setiap ketul emas yang sedang dilaburkan, walaupon nikmat perbuatan ini diakui. Cuba bayangkan...

*Ceplup*

"Ahhh..."

*Ceplup*

"Ahhh..."

Bunyi-bunyian kamu ini sudah pasti mengganggu emosi pelabur di 'cubicle' sebelah.

Juga, janganlah kamu menjawab panggilan telefon ketika berada di dalam tandas. Kamu mungkin pernah dengar tentang kisah seorang lelaki yang perasan orang di sebelah sedang bercakap dengan beliau, padahal orang itu sedang bercakap di telefon. Jika kamu belum tahu kisah itu, boleh baca di sini. Bersms juga adalah tidak digalakkan, lebih2 lagi jika 'keypad sound' kamu diaktifkan.

Tapi, aku rasa sia2 aku coret di sini sebab kamu bukanlah di kalangan orang2 yang melakukan perbuatan2 di atas di dalam tandas awam.

Aku juga rasa sia2 kalau aku coret bantahan aku terhadap serangan Israel ke atas Lubnan di sini. Sedangkan bantahan PBB pon tak diendahkan Israel Laknatullah itu, apatah lagi blog aku yang langsung tak ada sebarang signifikan terhadap mereka.

Tadi, ada perhimpunan di belakang Masjid Asy-Syakirin, KLCC bagi membantah serangan Israel tersebut. Ramai wartawan datang, tangkap2 gambar. Ketika itu, aku dan Syuk baru lepas solat Jumaat. Syuk datang KL untuk mencari kerja baru.

Ketika kami berjalan ke arah Suria KLCC, kami dapati sekumpulan lelaki Melayu berjaket Pemuda UMNO sedang bergerak pada arah bertentangan dengan kami, berkemungkinan besar mahu menyertai perhimpunan tersebut.

"Eh, diorang ni sembahyang kat mana?" aku tanya Syuk, soalan retorik.

"Oh... tadi hujan," jawab Syuk, sinis.



p/s: Sama2lah kita berdoa ke atas kesejahteraan akidah umat Islam di Malaysia dan doakan keselamatan dan kemenangan Tentera Lubnan dan Hizbullah ke atas Israel Laknatullah.