Showing posts with label Poetry. Show all posts
Showing posts with label Poetry. Show all posts

Thursday, April 23, 2009

Selamat?

Sengaja aku diamkan diri
Membiarkan kau sepi
Meskipun hidupku kini
Bagai warna dalam mimpi
Bagai suara tanpa bunyi
Aku masih di sini
Masih perlahan meniti
Satu perjalanan tanpa henti
Yang hujungnya tidak pasti
Yang hujungnya adalah mati
Cuma hari ini
Aku selangkah lagi
Menghampiri destinasi

Thursday, January 01, 2009

Cahaya.

Entah berapa ramai
Bayi luar nikah yang disemai

Entah berapa bilangan
botol arak bergelimpangan

Titis kencing setan
Membasahi tekak-tekak betina jantan

Dek terik nafsu
yang tak pernah lesu

Entahlah...

Mungkin kau sangka
Boleh terlepas api neraka
Kerana yang terbakar celaka
Puluhan saja di Santika

Ingatlah!

Itu hanya api dunia
Sebagai bayangan bahaya
Yang menanti
Setelah kau mati

p/s:
Entah berapa penumpang
Kena saman gampang
Sebab mereka tak sedar
Tali pingggang keledar
Hari ni kena pakai
Kalau tak, pokai!

Tuesday, April 03, 2007

Foto...

Memandangkan maklum balas untuk gambar2 dalam entri sebelum ni baik, aku pon terasa nak menayang letak lagi gambar2 dari rakaman Encik Ben.

Dapatkah kau lihat di sebalik dedaun itu?
Gambar di atas dirakam di Cherating. Gambar2 lain di bawah dan di entri sebelum ini dirakam di Labuan.

... atau kau hanya ibarat tunggul di pantai yang menghadap laut yang luas?
mungkin juga batu yang keras... tak bergerak walaupun musnah dihakis. Tak seperti kapal2 yang berlabuh
mengapa kau tumpukan mindamu pada akar yang melingkar sedangkan saujana alam berada di sebaliknya?
kau lindungi kehijauanmu disebalik duri2, khuatir kau dicerobohi
kau lupa pada saujana di sebalik sana... jauh dari duri2 mu
Dua gambar di bawah telah dialter dengan menambah contrast dan mengurangkan brightness bagi mengimbangi komposisi cahaya dan warna.


di sebalik sana ada hutan yang lebih luas untuk diterokai
asal saja kau tidak takut jadi pohon yang tercantas...
Gambar terakhir dalam entri sebelum ini (Labuan...) telah dicrop untuk menambahkan fokus kepada subjek utama (nelayan dan bot) dan menghasilkan efek panorama gambar tersebut.

Keupayaan Encik Ben terhad. Beliau tak sehebat Nick'a. Kmie dah kasik tips dulu, tapi aku tak pakai. Tapi, aku tak menyesal sebab Encik Ben kacak.

Hehe.

Oh ya. Gambar tak cantik. Pemandangan yang mencantikkan gambar.

"A picture is worth a thousand words"


p/s: Aku perasan1 ada orang rindu.2

footnote:

  1. Perasan ada dua maksud. Kedua2nya boleh diguna pakai dalam ayat ini bergantung kepada sesiapa yang membacanya. Kalau dalam bahasa Inggeris, istilah yang selalu digunakan ialah "pun intended". Huhu. Memang khas ditujukan untuk dua orang individu yang berbeza. Tak tahulah kalau dua2 individu berkenaan perasan. (Again, pun intended)
  2. Ayat ini tidak ditujukan untuk bini tersayang. Aku tahu beliau rindu. Hehe

Tuesday, September 05, 2006

Merdeka?

Maaf jika tiada tulisan baru untuk jangka waktu yang panjang. Aku sekarang sangat sibuk. Sibuk dibelenggu takdir.

'Takdir'....

Bini tersayang dan Parid mungkin faham 'takdir' apa yang aku maksudkan. Zul juga mungkin tahu.

Oh ya, Zul...

Beliau rakan serumah kami yang baru.

Sempena Hari Kebangsaan tempohari, aku telah menulis puisi berikut:

Merdekakah kita?
Dalam gegak gempita
Laungan dalam pesta
Terlepas dari derita
Sejarah jadi cerita
Ditulis pelbagai tinta
Diukir pada peta

Merdekakah kita?
Dalam timbunan harta
Emas, intan permata
Melimpah berjuta-juta
Dalam pelukan wanita
Cantik jelita
Juga punya takhta
Damai rakyat jelata

Mungkin kita buta
Untuk melihat dusta
Disebalik berita

Sebenarnya,
Kita tak pernah merdeka
Kerana selamanya
Kita adalah hamba...

Paling tidak, kepadaNya
Yang Hidup serta Berdiri Sendiri
Al-Qayyum.


Terima kasih.

p/s: Takziah buat peminat 'Crocodile Hunter' di atas kematian beliau. Bak kata pepatah Melayu, sepandai2 tupai melompat...

Eh, macam tak kena pulak ucapan takziah ini.

Monday, May 15, 2006

Guru.

Aku sebenarnya sangat penat sejak semalam. Mood untuk menulis tu takde. Tapi, memandangkan hari ni hari yang istimewa untuk mereka yang mempunyai profesion mengajar seperti Cikgu Nizam Rusli, aku gagahkan jugak untuk coret sedikit.

Ikhlas dari aku untuk kalian.

Guru,
Kenalkan dunia baru
Jelaskan yang keliru
Damaikan yang celaru
Menanam cita-cita
untuk kami buru
Tidak jemu menyeru
Jangan jemu menuntut ilmu
Agar hidup kami
Tidak haru biru

Untuk itu,
Kami ucap penghargaan
Terima kasih...

p/s: Selamat Hari Guru buat semua guru2. Aku sebenarnya nak letak lagu background, tapi besar sangat pulak file dia. Pastu, hourly bandwith geocities pulak sikit. So, sape2 nak lagu tersebut boleh cuba download di sini: http://www.geocities.com/msayuti/guru-mirwana.wma

Thursday, March 23, 2006

Ibu.

Cabaran terbaru Juring membuatkan aku terfikir tentang Ummi. Lalu, aku pon menaip beberapa bait ayat di notepad.

Puisi Untuk Ummi.

Walau kami
Bergelar suami
Takhta hati kami
Hanya untuk ummi
Diami

Demi
Penghargaan kami
Buat ummi

Cinta fitrah yang bersemi
Dari ummi

Yang anggunnya
Tak mampu disulami
Yang dalamnya
Tak mampu diselami
Yang sucinya
Tak mampu dirasmi
Yang besarnya
Tak mampu dibasmi

...Untuk kami

Halalkanlah
Tiap titis susumu
Tiap juadah dijamu
Didikan tanpa jemu
Juga curahan ilmu

Izinkanku
Mencium telapak kakimu
Yang berbau syurga


p/s: Lagu 'Direnjis2' dalam kad jemputan virtual telah ditukar kepada lagu Mama.

Tuesday, February 21, 2006

Cuaca?

Aku sangat mengantuk dan penat. Nak tido! Tapi, tak boleh nak balik lagi.

*Sigh*

Kerana...?

Ketakutan

Kilat,
Jatuh dari langit berdaulat
Datang bersama awan selat
Sabung menyabung bak pendekar bersilat
Menikam mereka yang telah ralat
Menyambar bak api menjilat
Guruh bak tempikan si pelat
Yang berperut bulat
Tanpa julat

Lalu,
Terpaksa kutunggu selepas solat
Kerana kutertinggal satu alat
Yang mungkin sudah berkulat
Atau dimakan ulat-ulat

Alat itu ialah payung
Bukan gayung

ofis, 21022006 1925 hrs


Demikianlah.

p/s: Sediakan payung sebelum hujan!

...dan jangan lupa bawak ke ofis.

Wednesday, February 15, 2006

Kabut!

Datin pesan semalam, "Your job is to come up with solutions - creative ideas or structured process that we can implement. The paperworks, calling up people, nomination... you have to pass to Kak Ros or Kak Jun (support staff lagi sorang) to do. Their rank is supervisor. They are able to do it."

Setelah berjaya mendownload kerja2 yang memerlukan pengetahuan prosedur dan kelajuan menaip yang tinggi kepada Kak Ros dan Kak Jun, aku rasa sangat lapang. Sebab tu pagi tadi banyak dihabiskan dengan meninjau2 blog orang utk idea2 atau apa2 perkara yang dapat menjana minda kreatif. (konon2nye lah)

Bila otak ajer yang berjalan, maka aku pon cepatlah mengantuk. Tambah2 pulak aku tak cukup tido semalam. Entah macam mana laa jarum jam loceng aku boleh tunjuk pukul 6.15 pagi dan berbunyi dengan kuat, walhal jam tangan aku baru pukul 2.00 pagi. Jam dinding lagi takleh harap, pukul 9.00, jarum saat kejap jalan, kejap tak. Dah malas nak betulkan. So, aku switch on TV. TV3 dah abis siaran. Alih TV2. Rancangan "Thought for the Day", diikuti lagu Negaraku.

Sah pukul 2.00 pagi.

Betulkan jam loceng balik. Guling2 atas toto. Setengah jam kemudian, mata takleh tutup jugak. Guling2 lagi. Tak tahu pukul berapa aku terlelap, tapi sedar2 dah pukul 6.45 pagi, Parid dalam bilik air. Entah jam loceng bunyi ke tak tadi, aku pon tak tau.

Pukul 7.20 pagi, aku dan Parid pon memulakan perjalanan ke stesen Sentul Timur macam biasa. Din, pukul 7.00 pagi dah keluar. Dia kena pergi Bangi. Ada training dekat sana.

Azwa, geosaintis yang berjiran (workstation) dengan aku, pesan mintak tolong beli nasik lemak. Memandangkan aku selalu mengepau jajan dan coklat (Azwa nih tokan makanan rapu) dari laci beliau, rasa serba salah pulak kalau tak tolong belikan. Jadi, aku pon singgahlah di gerai2 sarapan dekat dengan area stesen LRT Masjid Jamek. Lama sangat aku pilih lauk, sampai Parid tinggal. Dah selesai bayar aku tak nampak kelibat mamat nih. Aku call. Dia dah naik tren.

Selingan:

Tekanan Pagi

Pergi kerja naik LRT
Setiap hari aku perhati
Manusia yang tak reti-reti
Adab-adab bila tren berhenti

Izinkan penumpang turun dahulu
Jangan terus terkam melulu
Bak ayam dicabut bulu1
Pelancong tengok, tidakkah malu?

Penumpang berada di depan pintu
Walau tak turun di stesen itu
Berganjaklah sebentar jangan membatu
Masuk keluar dapat dibantu

Jika semua sama lakukan
Kau, aku dan rakan-rakan
Pasti kita tidak tertekan
Pergi kerja tersenyum sakan

Stesen PUTRA MJ, 15022006, 0749hrs

Pukul 2.45 sampai pkl 3.45 petang ada miting. Pastu aku review beberapa paperwork yang tiba atas meja aku dan meninjau2 resume student yang apply internship di sini.

Dekat2 nak abis ofis hour, aku dengar suara Datin, Kak Zila (eksekutif lagi sorang, yg jaga recruitment dengan development) dengan Tracy (support staff Kak Zila) riuh. Telinga aku tertangkap ungkapan "tanya Sayuti..." (Uhuk!) dalam keriuhan tersebut. Aku memanjangkan leher meninjau. Serentak ketiga2 wanita berkenaan menoleh ke arah aku, dengan senyuman yang sangat aku kenal.

Aduh, problem.

Tapi problem berkenaan telah berjaya diselesaikan setelah dengan tiba2 aku berjaya menjadi seorang arkitek yang berkaliber.2


Footnote:
  1. Pernah tengok? Aku tak pernah. Burung dicukur bulu pernahlah. (NOTA: betullah tu apa yang korang tengah bayangkan tu. eh, korang bayangkan ape?)
  2. Tak dapat diceritakan apa problem berkenaan sebab aku pon dah boring nak menulis. Nak balik rumah, tido.
p/s: Esok, aku dan Datin akan berada di Sunway Lagoon (hoho) Resort Hotel sepanjang hari untuk mencuci mata atas urusan kerja.

Friday, February 10, 2006

Semalam.

Tribute buat weekend husband di mana saja anda berada dengan ucapan "JANGAN CURANG!"

Gersang Malam Jumaat

Secawan kopi
Kupandang sipi
Aku impi
Isteri di tepi
Membelai pipi
Kucup mengkucupi
Usap mengusapi
Hangat bak api
Cinta dikecapi
Tapi
Aku sepi
Berteman mimpi

atas toto di ruang tamu, 10022006 12.25am


p/s: Bini balik malam ni (Yeay!~) dari Kuantan. Esok kami mau ke Sunway Lagoon. Boleh aku cuci mata mandi manda. Ah, tak sabarnya... teruja

Wednesday, February 08, 2006

Potong!

Pagi tadi aku datang lambat ke ofis sebab bangun lambat sebab lupa kunci jam loceng tak bunyi tapi aku tak dengar. Semalam sukar melelapkan mata sebab rindu kat bini. Semuanya kerana hobi baru aku menulis puisi dan membaca blog seperti di bawah:

Hobi Baru

Lagak seorang pekerja tungkus
Jariku menekan butang tetikus
Tulisan terpapar kubaca penuh fokus
Dalam kedinginan yang membungkus(1)
Sehingga hidungku mengalirkan mukus
Namun minda kepalaku tetap dikukus
Segala maklumat kuhirup rakus

Ada pelbagai cerita mengarut
Sehingga menggeletek urat perut
Ada juga diskusi yang larut
Bisa membuat dahiku berkerut
Juga kisah kehidupan penuh pasang surut
Memori luka yang sudah berparut
Perihal kesempitan yang menjerut
Kemahuan hati yang tidak diturut
Hingga marah mencarut-carut
Ada juga diletak gambar-gambar
Bisa menceria tulisan yang hambar
Terkadang lagaknya bagai mencabar
Majalah, risalah dan surat khabar
Ada juga tukang salin lirik
Ada pengulas filem menarik
Pendek kata semuanya terlarik(2)

Sesungguhnya
Apa yang kalian panggil blog
Bukan sekadar tempat bermonolog
Atau tandangan untuk berdialog

Di situ kawasan
Penghilang bosan
Kerana tulisan
Bukan picisan

Izinkan aku meninggalkan komen...(3)

ofis, 08022006, 1355pm

footnote:

  1. air-cond ofis sangat sejuk, hatta memakai baju sejuk windbreaker pon gagal menghangatkan badan
  2. larik tu terukir kan? kan? aku takde kamus dewan nak refer. main belasah ajer. takut salah pulak.
  3. ayat ini ditujukan kepada pemilik2 blog yang telah disemakkan oleh komen aku yang agak panjang berkenaan.

Monday, February 06, 2006

Ngantuk?

Hasil kerja di ofis pada hari ini...

Si Gila dan Si Alim

Teringat aku sebuah cerita
Si Alim bertemu Si Gila
Di sebuah hospital bahagia
Begini kisahnya...

Ada Si Gila lain gelagat
Duduk termenung dagu ditongkat
Dari kejauhan Si Alim melihat
Terlintas di hatinya ingin menyakat

"Wahai Si Polan apa kau fikir?
Bagai satu masalah yang getir
Kongsilah denganku barang secangkir
Agar bebanmu dapat disingkir"

Lalu Si Gila pantas mendongak
Senyum menayang gigi yang rongak
Gembira hatinya Si Alim mencangak
Seronok bila fikirannya dicongak

"Wahai saudara yang bijaksana
Aku sedang mencari apa maknanya
Betapa sedapnya tidur yang lena
Ditutur manusia di mana2"

Si Alim menjawab dengan selamba
"Tentulah sedap tidur yang lena
Bila jasad dibuai selesa
Bila jiwamu lupa segala"

"Jika begitu wahai saudara
Bukan di situ letak sedapnya
Kerana dalam tidur yang lena
Engkau tidak merasa apa2"

"Betul juga kata Si Gila..."
Si Alim terdiam seketika
"Maka sedapnya tentulah bila terjaga!"
Si Alim cuba untuk meneka

"Bila terjaga musnahlah lena
Bila terjaga bukan lagi tidur namanya!
Maka bukan di situ juga letak sedapnya
Kerana di situ sedapnya terjaga"

Si Alim terdiam seribu bahasa
"Ya tak ya juga," getus hatinya
Berlalulah Si Alim dengan segera
Sambil berbisik perlahan, "patutlah engkau gila..."

ofis @L23T2 PTT 1804hrs

Sekian, time kasih

p/s:
sedapnya tidur ialah ketika mengantuk tak hingat sbb berjaga sepanjang malam di rumah member lantaran tertinggal tren terakhir setelah melepak2 membuang masa di kedai kopi dan terpaksa ke ofis keesokan harinya. dah 24++ jam aku tak tido...
anyway, tidur paling sedap ialah meniduri isteri. hehe
:D~

Friday, January 27, 2006

Cuti?

Yeah, permohonan cuti pada Jumaat, 3 Feb 2006 telah diluluskan oleh Datin. Maka, bercuti seminggulah aku. *YeaY~*
- Isnin: CNY
- Selasa: Awal Muharam
- Rabu: Hari Wilayah
- Khamis: Replacement CNY (Hari Ahad)
- Jumaat: Malas sungguh nak ke ofis, amik Annual Leave (AL) je la..

Ngantuk sungguh aku hari ni. Smalam balik lambat sebab gi carik tiket. Ingatkan nak turun Kuantan jumpak bini hari ni. Pastu dari situ balik rumah mentua kat Batu Pahat thru Segamat. Malangnya tiket bas ke Kuantan dah abis. Ofcourse la abis, dah cuti panjang! *Klepek2* (Sound effect tepuk dahi kat tepi kaunter tiket bas Puduraya)

Maka, malam ni, terpaksa la aku menunggu kepulangan bini yang terchenta dari Kuantan dengan penuh kesabaran. Sempena kepulangan bini yang terchenta ni, aku nak tujukan sebuah lagu yang best kat sape2 yang nak layan. Aku first time dengar lagu nih sejak Abg Wan (abang kandung aku, ensem orangnya, tp masih bujang... Yer yer, aku langkah bendul) pinjamkan mp3 player dia waktu aku memula start keje dulu.



PERMATAKU by Mirwana

Sunyi selubungi malam
Mengusik minda yang terlontar jauh
Masih hangat terasa
Tangan yang membelai yang mengusik manja
Daku damba kasihmu
Biar jadi pedoman
Buat penyuluh jalan kugapai impian...

BEGIN CHORUS

Angin... kau nyanyikan lagu
Untuk permataku tenang selalu...
Bayu... sampaikan berita
Daku kini ceria, aman dan bahgia
Selimutkan rinduku bersama malammu...

END CHORUS

Hadirlah kau dalam mimpiku
Agar kau selalu ada disisiku
Rindu belaian kasihmu
Rindu senyumanmu... penawar lukaku

Dengarkan laguku hadiah untukmu
Jasa dan baktimu ku kenang selamanya...

(REPEAT CHORUS)

Dikaulah cahaya bila malam menjelma
Kasihmu membawa ke syurga
Dan redha yang Esa...


Demikianlah... tapi, lagu nih agak ambiguous laa liriknya. Skali tengok macam utk orang yang tersayang yang berada jauh. Kalau baca betul2 macam lagu utk seorang ibu. Aper2 pon, lagu nih memang jiwang dan sangat bes dilayan ketika sangap malam Jumaat kerana bini berada di kejauhan.